BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, December 7, 2011

Pemergian Abang Din secara mengejut mengubah hidup kami sekeluarga. Bila diimbas kembali, sesungguhnya aturan takdir Allah S.W.T itu sangat cantik dan sempurna hingga ke akhir hayat hambanya. Semuanya telah ditentukan dengan begitu indah dan penuh hikmah.

Walaupun pemergiannya meninggalkan kesan yang amat dalam di hati kami, namun, kami amat bersyukur kerana ternyata di penghujung hayat Abang Din semuanya berakhir dengan baik.

Abang Din yang aku kenal sejak kecil cumalah seorang anak kepada sepupu nenekku yang lebih mesra dipanggil Ayayut. Namun, akrabnya keluarga kami lebih dari pertalian saudara yang lebih dekat. Bermula dari zaman persekolahan emak, pertalian ini sudah terjalin hinggalah kini emak sudah pun bersara.

Kelahiran Abang Din amat dinanti-nantikan kerana setelah lama berkahwin, Ayayut dan Mak Wass tidak dikurniakan zuriat sehinggalah mereka mengambil seorang anak angkat perempuan, Kak Long. Abang Din lahir selepas itu dan Abang Din adalah anak tunggal lelaki yang juga anak kandung tunggal Ayayut dan Mak Wass.

Abang Din di zaman remajanya seperti anak-anak muda lain, gemar berkawan dan hidup merantau dari satu tempat ke tempat lain. Kehidupan berkeluarga membuktikan Abang Din adalah seorang suami dan ayah yang sangat penyayang dan prihatin.

Keluarga Abang Din menetap di Muar. Empat bulan sebelum pemergian Abang Din, Allahyarham meminta izin dari isterinya untuk menjaga Ayayut yang sakit di Pontian. Bermulalah kehidupan baru Abang Din. Setiap hari jam 5.30 petang bertolak ke tempat kerja barunya di Pelabuhan Tanjung Pelepas menaiki motorsikal.

Pulang jam tujuh pagi, tidur dua hinggga tiga jam dan bangun mengurus Ayayut yang uzur. Temujanji di hospital, rawatan-rawatan alternatif di merata tempat, Abang Din uruskan seberapa terdaya. Anak dan isteri Abang Din kekal di Muar kerana meneruskan persekolahan untuk menghadapi PMR dan SPM. Abang Din akan pulang ke Muar seberapa kerap yang mampu.

Pada masa Abang Din menjaga Ayayut sehingga keadaan Ayayut bertambah baik kini, Mak Wass melayan Abang Din seperti menjaga anak kecil. Pergi ke tempat kerja dibawakan bekal, terjaga di tengah malam akan menjenguk Abang Din, menyelimutkan, mengecilkan kelajuan kipas, menunggu di pintu waktu pulang dari kerja, melayan makan minum dan pakaian.

Sehinggalah pada petang Ahad, 16 Oktober 2011 sewaktu azan Asar, Mak Wass terdengar Abang Din muntah di tandas dan mengadu dadanya sakit. Mak Wass sapukan minyak dan urut dada Abang Din. Abang Din berpeluh dengan sangat banyak dan sejuk seperti ais, kata Mak Wass.

Abang Din menolak untuk di bawa ke hospital kerana katanya sakit biasa tetapi Ayayut menggesa. Dalam keadaan Ayayut yang masih menanggung kesakitan di kaki, Ayayut menghantar Abang Din ke Unit Kecemasan Hospital Pontian. Pada masa itu, Abang Din masih boleh berjalan sendiri.

Mak Wass mengiringi Abang Din kerana Ayayut sukar untuk turun dari kereta oleh sebab keadaan kesihatannya sendiri yang kurang memuaskan. Semasa proses pendaftaran, Abang Din sudah mula membongkok menahan sakit.

Panggilan pertama yang kuterima dari emak pada jam 7.10 malam mengatakan Abang Din sedang menerima rawatan kerana serangan jantung. Terkejut dan kaget, hanya doa dapat dikirim. SMS demi SMS dari emak untuk memberi berita perkembangan rawatan menambah debar.

Ya Allah, Kau selamatkan Abang Din ! Sehinggalah mendengar panggilan telefon yang paling sukar untukku jawab. Aku hanya membiarkan telefon berdering sehinggalah dapat membina keberanian menyambut panggilan emak.

Innalillah... Perkara yang paling sukar terpaksa dihadapi. Pergi jua seorang putera kesayangan ayah bonda, dengan mudah dan tenang. Maha Suci Allah! Kau pulangkan Abang Din di penghujung hayatnya kepada Ayayut dan Mak Wass agar dia dapat berbakti kepada kedua orang tua hingga ke saat akhirnya.

Kau jua memberi kesempatan kepada seorang ibu untuk menatang anak tunggalnya bagai minyak yang penuh di hujung perjalanan hidup seorang anak. Kau berikan kekuatan kepada seorang ayah yang uzur memandu menghantar anaknya sendiri ke hospital. Kau lorongkan rezeki Abang Din bekerja di PTP supaya dia dapat tinggal bersama ibu dan ayahnya.

Subhanallah! Maha Agung Tuhan Sekelian Alam.

Siapa sangka seorang anak yang nampak sihat mendahului ayahnya yang uzur. Siapa sangka hilang sudah tempat bergantung ibu dan ayah kepada satu-satunya anak harapan. Semoga Ayayut dan Mak Wass tabah menghadapi hari-hari muka. Hanya zuriat Abang Din pengubat rindu, terutama anak bongsu Abang Din, Iman yang banyak menyerupai wajah Abang Din.

Allah S.W.T jua lorongkan hati kami, saudara rapatnya untuk berpeluang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham dan menemani Ayayut dan Mak Wass di waktu sukar ini. Emak menolak ajakan Ayah ke Seremban menghadiri kenduri adik kandung emak.

Aku mengubah tarikh aktiviti Pasca PMR bersama Panitiaku yang pada asalnya pada 17 Oktober ke 19 Oktober kerana ingin mengambil CRK atas urusan Konvo Abang Hisham tetapi membatalkan pada sangat akhir. Rupa-rupanya aku tetap mengambil CRK atas sebab yang lain. Adikku Pin yang bekerja shift menyusun jadual cutinya pada 17 Oktober sedangkan Pin baru bercuti pada 15 Oktober.

Mendengar ringtone dari telefon Abang Din sudah mampu meremukkan hati kami. Lagu Wali Band "Ingat sakit.. ingkat mati..ingatlah waktu kau sulit.." Adakah itu tanda yang tidak kami sedari?

Kerap termenung sejak seminggu ini, meletak penama pada akaun KWSP, melarang isterinya mencabut uban dengan alasan jika mati akan bawa juga uban ke kubur, bercakap melalui telefon dengan pelbagai pesan selama lebih satu jam dengan anak sulungnya, Haziq sehari sebelum pemergian Abang Din, adakah itu tanda yang kami tidak fahami?

Allah S.W.T memberi peluang kepada sebuah keluarga menebus masa-masa lampau yang hilang dengan memberi peluang mereka bersatu dan saling membantu di saat akhir hidup seorang ahlinya. Alangkah cantiknya aturan Allah S.W.T ke atas hamba-Nya. Membuang ralat di hati seorang ibu dan ayah kerana puas bersama anak tunggalnya.

Memberi rezeki turunnya jenazah di perjalan akhirnya dari rumah ayah bonda. Memberi rezeki tanah kubur di tempat seperti dihajatkan ayahnya. Memberi rezeki solat jenazah di masjid kerana ramainya yang menziarahi, tidak muat menampung solat di rumah.

Semoga perjuangan Abang Din diteruskan oleh anak-anaknya. Nyata rahmat Allah S.W.T itu amat besar disebalik setiap yang berlaku. Al-Fatihah...

Dedikasi buat keluarga Allahyarham Khairudin bin Abdul Muhaimin yang telah kembali ke Rahmatullah pada 16 Oktober 2011 bersamaan 19 Zulkaedah 1432H jam 2136 pada usia 42 tahun 10 bulan 9 hari akibat komplikasi jantung.

artikel iluvislam.com

0 comments: